Isnin, 7 Mei 2018

Hari pertama - Masjid Jamek Tanjung Malim

Image may contain: Roslan Ali, smiling, eyeglasses and outdoor

Alhamdulillah, berjaya memulakan misi pertama program kembara 40 masjid. 
Bermula pada jam 8.45 pagi 5/5/2018 dari Slim River melalui jalan lama Kg Benta, Slim Village, Behrang Hulu terus ke Proton City. Berbasikal melalui jalan ini adalah lebih selesa kerana trafik yang sangat kurang. Cabarannya adalah perlu menempuh beberapa laluan berbukit agak tinggi dan panjang, walau pun begitu, suasana nyaman dan teduh membantu perjalanan saya. Jalan yang dilalui agak tenang, kurang kenderaan yang melalui jalan ini, mungkin disebabkan jalannya yang sempit dan bengkang-bengkok menyebabkan jalan ini bukanlah laluan pilihan. Melalui jalan ini, kita akan menempuh beberapa kampung orang asli selain kawasan perkelahan Sungai Bil, dimana terdapatnya lata untuk berkelah. Dalam perjalanan saya berhenti rehat sebanyak 2 kali, di Slim Village dan Behrang Hulu. Ketika di Behrang Hulu saya dapat berkenalan dengan yang dipertua Persatuan Basikal UPSI, En Rosli, kemudian saya menyambung perjalanan dan mengambil kesempatan meninjau Proton City yang tak macam city pun😁. Perjalanan paling mencabar pada 10KM terakhir dari Behrang Hulu ke Tanjong Malim, cuaca panas dan tiada tempat teduh sepanjang jalan tersebut agak memeritkan kulit. Tiba dipersimpangan Tanjung Malim saya singgah sebentar di Restoran Pau Yik Mun untuk melegakan lelah perjalanan. Saya mengambil kesempatan untuk bersolat zohor dan beriktikaf hingga asar di Masjid Jamek Tanjung Malim. Saya bertanya kepada penduduk setempat untuk berjumpa dengan AJK masjid , Lega dapat bertemu, berkenalan dan beramah mesra dengan setiausaha dan bilal masjid, Hj Halid dan Hj Yahya. Sambutan baik yang diberikan oleh AJK masjid menjadikan saya lebih bersemangat meneruskan program ini. In Sha Allah lepas aidilfitri Fasa 1 bermula di Pulau Pinang.

Meninjau keadaan masjid ini, ia dikategorikan dalam keadaan amat baik, kerana ia dijaga dengan baik dan bersih, cat bangunan kemas, jubin tiada yang pecah, permaidani bersih, kipas dinding berfungsi dan bersih, tandas bersih, pencahayaan yang mencukupi, kolah wuduk juga dilengkapkan dengan pengelap kaki, lantai sekeliling runag wuduk yang kering, cuma ada beberapa kerosakan yang dikesan pada bumbung dari kesan tompokan air yang kelihatan. Mengikut rekod, terdapat 14 buah masjid didalam Daerah Tanjung Malim, dan Masjid Jamek Tanjung Malim adalah yang tertua di daerah ini. Masjid ini yang telah dibina pada tahun 1900 dan dirasmikan pada tahun 1932 oleh Sultan Idris Shah. Masjid ini telah mengalami perubahan disebabkan keperluan semasa, terutama pada bahagian bumbung dan kubah, yang telah ditukar, kiri, kanan dan belakang masjid juga telah diubahsuai. Walaubagaimana pun struktur asal masjid masih dikekalkan termasuk menara masjid. Pada masa ini Jabatan Warisan bertanggungjawab untuk memantau keadaan masjid ini. Keunikan masjid ini adalah dinding ruang solat utama yang dihiasi dengan huruf kufi dan lubang angin disebelah atas ruang solat juga terdapat ukiran Allah dan Muhamad selain kaligrafi yang diukir pada dinding. Ruang solat diperkukuhkan dengan 6 batang tiang utama. Mimbar diperbuat dari kayu dan berada dalam keadaan sangat baik. Ukiran pada mimbar menunjukkan keindahan kesenian ukir Melayu. Nilai estetika masjid ini dari binaan kubah yang disusun atur yang melambangkan peradaban dalam Islam yang sentiasa mementing ketertiban, sementara ruang solat pula terpancar kesenian tamadun Islam apabila dindingnya dihiasi dengan huruf-huruf khufi dan paling penting adalah binaan masjid ini mengutamakan peredaran udara bagi keselesaan jemaah didalamnya. Tetapi ketika ini setelah mengikut peredaran zaman, ruang solat utama ini telah dipasangkan penyaman udara. 


Bumbung yang telah diganti
















Pintu masuk asal masjid


Engsel pintu asal yang kukuh

Terdapat kesan kebocoran pada siling







Tiada ulasan:

Catat Ulasan